Haji Abdullah Hukum di Selangor Haji Abdullah Hukum

Kehidupan Haji Abdullah Hukum di Tanah Melayu di zaman "Keris dan Pemuras ".

Zaman "Keris dan Pemuras"

Selepas beberapa hari saja beliau berhijrah ke Tanah Melayu , semasa dalam perjalanan dari Sungai Ujung ke Kuala Lumpur beliau telah melihat satu kejadian yang dahsyat di Kajang. Beliau telah melihat perlawanan senjata yang dinamakan bertikam. Dalam kejadian itu ada seorang telah mati, ditikam oleh orang ramai sehingga darah nya mengalir. kejadian itu adalah disebabkan perempuan. Peristiwa ini berlaku pada 1850, tetapi ini bukanlah peristiwa terakhir yang dilihatnya kerana beliau juga turut menyaksikan "orang bertikam satu lama satu antara orang Pahang dengan orang Pahang juga, semasa ia membeli kerbau di Lubuk Terua (Semantan) Pahang. Menurutnya peristiwa itu berlaku "kerana yang seorang itu enggan memulangkan amanah dari Kuala Lumpur ... Yang mati itu ialah orang yang enggan".

Sebenarnya banyak sekali peristiwa pembunuhan yang telah disaksikan beliau,ini adalah kerana kerana kekacauan sering berlaku di Selangor seperti di Cheras, Hulu Kelang, Ampang, Hulu Langat dan termasuk Kuala Lumpur sebelum pertengahan tahun 1870-an. dan beliau sendiri adalah juak-juak kepada seorang pembesar Selangor, iaitu Raja Mahmud. Perang atau kekacauan ini selalunya berpunca daripada perebutan kawasan yang mengandungi hasil bijih dan seterusnya untuk berkuasa di sesuatu kawasan itu. Di Selangor contohnya, pada 1858 dikatakan telah berlaku pergaduhan di antara Raja Bugis dengan Raja Mengampang, kedua-duanya orang Mendahiling. Raja Mengampang mempunyai lampan bijih di Hulu Langat dengan kebenaran Sultan Abdul Samad. Tetapi Raja Bugis dari Kajang hendak membuka lampan pula di sebelah hulu Sungai Langat. Ini menimbulkan kemarahan Raja Mengampang. Haji Abdullah Hukum berkata, "Menurut adat zaman berkeris dahulu, ketika itu kita wajib menghunus senjata". Inilah yang berlaku hingga ramai kedua belah pihak tersebut terkorban. Pergaduhan itu berlaku selama tiga bulan.

Satu lagi contoh "zaman keris dan pemuras" ialah peristiwa yang berlaku di antara Raja Mahmud, Ketua kepada Hj. Abdullah Hukum dengan Raja Layang. Raja Mahmud ialah salah seorang pembesar Selangor di Kuala Lumpur yang berperang menentang serangan orang Pahang di sekitar 1873, di Hulu Kelang. Manakala Raja Layang (orang Minangkabau) telah bersekutu dengan orang Pahang. Raja Layang dikatakan telah melarikan diri ke Rekoh dan dengan itu Raja Mahmud berazam untuk membunuhnya. Raja Mahmud telah berangkat ke Kajang, tetapi Raja Layang yang berada di Rekoh sudah pun melarikan diri. Haji Abdullah Hukum adalah di antara ramai panglima dan juak-juak Raja Mahmud pada masa itu. Menurutnya sebaik saja Raja Mahmud tiba di Rekoh, dia telah bertemu dengan seorang Minangkabau yang nampaknya tidak ambil peduli kepadanya. Raja Mahmud bertanya seperti berikut: "Awak orang mana?" Jawabnya, "Saya orang Minangkabau", Raja Mahmud bertanya lagi, "Siapa ketuaan awak?" Jawabnya, "Raja Layang". Dengan itu dikatakan, "Itulah dua patah soal jawab sahaja. Orang itu pun ditikam oleh Raja Mahmud sama sekali sahaja mati di situ jua".

Raja Mahmud memasuki pekan Rekoh untuk mencari Haji Abdul Samad, orang Minangkabau juga. Apabila ditemui Haji Abdul Samad, Raja Mahmud bertanya, "Siapa ketuaan Pak Haji? Jawabnya, "Tuankulah!" Dengan itu, niat Raja Mahmud hendak membunuhnya tidak terlaksana. Di sebaliknya, "Haji Abdul Samad dipeluknya" dan diberikan "wang sepuluh ringgit belanja menanam orang yang di¬tikamnya tadi". Selepas peristiwa ini Raja Mahmud pulang ke KuaIa Lumpur.

Ini adalah satu aspek daripada adat di zaman tersebut. Namun begitu, terdapat juga adat di mana seorang pembesar seperti Raja Mahmud ini dikehendaki membayar diyat apabila anak buahnya melakukan kesalahan. Satu peristiwa yang diceritakan oleh Haji Abdullah Hukum ialah mengenai seorang keturunan Kerinchi yang mengambil upah menggalas bijih timah terbunuh dalam satu rompakan. Perompak itu dikatakan orang Raja Mahmud. Dengan itu sekumpulan 30 orang Kerinchi telah pergi menemui Raja Mahmud. Dialog berikut membawa maksud yang tersendiri,

"Apabila sirih telah dikapur maka Imam Perang Mangku iaitu kepala dan jurucakap orang Kerinchi itu pun berkata harap diampun Tengku? Kedatangan patik-patik semua ini ialah kerana hendak mengadu seorang daripada waris kami telah mati dalam kawasan Tengku. Itulah kami sembahkan jika hilang minta dicari, cicir minta dipungut, kalau luka minta dipampas dan jika mati minta didiyat".

Raja Mahmud telah memberikan "sarong keris terapang emas" sebagai jadi tanda diyat itu dan ini akan ditebusnya dengan wang $100 kemudiannya.